14 September 2023 -Pelajar-pelajar Universiti Islam Selangor (UIS) terus melakar sejarah setelah terpilih mengikuti Daurah Ilmiah ke Kuwait selama 3 bulan. Pelajar-pelajar yang dipilih diwajibkan melalui beberapa proses saringan bagi melayakkan mereka untuk mengikuti program ini. Pelajar-pelajar yang terpilih adalah daripada Fakulti Pengajian Peradaban Islam iaitu Wan Ahmad Fadhil bin Wan Hussin, Muhammad Arifuddin bin Abdul Kadir, Mohd Izzuddin bin Aziz dan Muhammad Syafiq bin Mahmud.
Program yang dianjurkan oleh Jam‘iyyah Insan al-Khairiyyah, Kuwait menawarkan pengajian kitab secara percuma selama 3 bulan. Bukan itu sahaja, malahan pelajar-pelajar disediakan penginapan secara percuma, ditaja tiket penerbangan pergi dan balik, serta diberikan wang saku.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UIS, Dr. Abdul Razif bin Zaini yang turut mengiringi keberangkatan pelajar-pelajar di KLIA menzahirkan kesyukuran berikutan kejayaan pelajar-pelajar UIS yang julung kalinya terpilih untuk mengikuti program ini. Beliau juga berharap agar program ini bakal menjadi perintis untuk pelaksanaan di masa akan datang.