Seramai 56 Alumni Fakulti Pendidikan daripada program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam dengan Multimedia (Kepujian) dan 3 orang alumni Ijazah Sarjana Muda Perguruan TESL dengan Multimedia (Kepujian) telah memperolehi surat tawaran sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP DG41) pada 18 Februari 2022. Manakala, pemakluman penempatan sekolah telah dimaklumkan pada 18 Mac 2022.
Bermula dengan penempatan sebelum ini adalah seramai 105 orang alumni telah melapor diri di sekolah pada 1 Mac 2022 (Fasa dua dan Fasa tiga) dan selanjutnya seramai 58 orang alumni Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di Fakulti Pendidikan KUIS melapor diri di sekolah pada 4 April 2022 (Fasa empat). Begitu juga dengan 8 orang alumni Diploma Perguruan (Pendidikan Islam) yang memiliki ijazah sarjana muda turut memperolehi penempatan. Penempatan ke sekolah melibatkan negeri seperti Negeri Sembilan, Melaka, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Sabah dan Sarawak.
Terdahulu, dimaklumkan bahawa seramai 18,702 orang guru dalam pelbagai opsyen diperlukan melalui pengambilan khas secara one-off. Untuk rekod, sebelum ni seramai 8,120 guru baharu bagi pengambilan khas secara one-off berjaya dalam temuduga fasa dua dan tiga, manakala pada fasa empat seramai 4,828 guru baru telah berjaya dan 515 orang akan ditempatkan pada 11 April 2022. Kesemua jumlah yang telah berjaya diberikan penempatan iaitu berjumlah hampir 13,770 orang guru. Manakala masih berbaki sebanyak 4,932 orang yang bakal memperolehi penempatan pada masa akan datang.
Pihak KUIS mengucapkan selamat maju jaya dan semoga dapat meneruskan kecemerlangan dalam mendidik anak bangsa dengan penuh keikhlasan dan komitmen terhadap profesion keguruan. Selain itu, ribuan terima kasih kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) yang memberikan peluang kepada graduan pendidikan daripada Institusi Pendidikan Tinggi Swasta diberikan peluang dalam memohon perjawatan sebagai guru di sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia. Semoga peluang dan ruang ini dapat diteruskan pada masa hadapan.