MASISWA Networking Games 2022 (MNG 2022) secara rasminya melabuhkan tirai selepas empat hari (24-27 November 2022) berlangsung di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Kampus Putrajaya.
Kejohanan MASISWA Networking Games yang telah diadakan sejak tahun 2014, di mana ia merupakan satu usaha untuk menggalakkan kebersamaan, perpaduan dan kesepaduan warga kerja universiti dan kolej swasta dari seluruh Malaysia di samping mencungkil bakat-bakat sukan dalam kalangan warga kerja IPTS terbabit.
Edisi kelapan ini menyaksikan penyertaan terbanyak iaitu 39 penyertaan sepanjang penganjurannya mempertandingkan 31 acara melalui 12 jenis sukan.
Kontinjen Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) muncul juara keseluruhan dengan kutipan 6 emas, 2 perak dan 2 gangsa manakala tuan rumah UNITEN berada di tangga kedua, 3 emas, 5 perak dan 6 gangsa. Kontinjen Kolej Poly-Tech MARA berada di tangga ketiga keseluruhan dengan 3 emas, 3 perak dan 8 gangsa.
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, YAB Dato' Seri Amirudin Shari.