Berita UIS

Kota Kinabalu, 23 Julai 2024 – Seminar Antarabangsa Masjid, Zakat dan Wakaf 2024 (IMAF 2024) bertempat di Sabah International Convention Center (SICC) telah berlangsung dengan jayanya selama dua hari bermula 23 sehingga 24 Julai 2024. Seminar kali ke-10 bertemakan Pemerkasaan Pengurusan Kewangan & Pengimarahan Masjid dan Zakat & Wakaf Pemangkin Pengimarahan Masjid ini telah dirasmikan oleh YAB. Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah.

Seminar yang turut dihadiri oleh YBhg. Datuk Seri Panglima Haji Yahya bin Hussin, Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Negeri Sabah dan YBhg. Dato’ Professor Dr. Mohd Farid Ravi Bin Abdullah, Naib Canselor UIS ini melibatkan seramai 38 orang pembentang daripada dalam dan luar negara dengan jumlah kehadiran peserta seramai 400 orang daripada wakil-wakil masjid di seluruh Negeri Sabah, Institusi pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan beberapa buah NGO.

Empat Pengucaptama iaitu YBhg. Sahibus Samahah Datuk Ustaz Haji Bungsu @ Aziz bin Haji Jaafar, Mufti Kerajaan Negeri Sabah, YBrs. Profesor Dr. Aishath Muneeza, Associate Dean, Student & International, School of Graduate & Professional Studies INCEIF University, Al-Fadhil Ustaz Awang Juri bin Ag. Tahir, Timbalan Pengarah JHEAINS dan juga YBhg. Dato’ Profesor Dr. Mohd Farid Ravi bin Abdullah, Naib Canselor UIS telah dijemput menyampaikan topik yang relevan dan menyentuh isu-isu penting seperti peranan zakat dalam pemerkasaan institusi masjid, cash waqf untuk renovasi masjid, berhemah dalam pengurusan kewangan masjid serta pengurusan kewangan masjid di Sabah.

Seminar kali ini merupakan anjuran bersama Masjid Al-Azhar UIS, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dengan kerjasama Bahagian Zakat & Fitrah Negeri Sabah, Bahagian Wakaf & Baitulmal Negeri Sabah, Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), PT Aslam Group International, Indonesia, KUISCELL Sdn Bhd, Pusat Zakat & Wakaf UIS dan Pusat Penyelidikan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam (IRCIEF).

Universiti Islam Selangor (UIS) merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam milik penuh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).