Kajang, 26 Disember 2023 – Program Kemahiran Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Selangor (INNOTECH 2023) telah diadakan dengan jayanya pada 23 hingga 25 Disember 2023 bertempat di Universiti Islam Selangor.
INNOTECH 2023 kali ini adalah program di bawah kelolaan Fakulti Multimedia Kreatif dan Komputeran, Universiti Islam Selangor (UIS) dan Uwais Global Solution dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor di bawah Jawatankuasa Tetap Sains, Teknologi dan Inovasi.
INNOTECH 2023 merupakan kesinambungan dari program INNOTECH 2022 yang berbentuk program latihan khusus secara bersemuka untuk pelajar-pelajar dari tingkatan 1 hingga 4 dari seluruh Negeri Selangor.
Para peserta didedahkan kepada 6 kategori bidang Teknologi Maklumat iaitu Kategori A Sains dan Teknologi Maklumat: Asas Robotik, Kategori B Kreatif Multimedia dan Media Baharu: Videografi Mudah Alih, Kategori C Keusahawanan Digital: Rekabentuk Grafik Berbantukan Kepintaran Buatan, Kategori D Teknologi Dunia Masa Depan: Pembangunan Dunia Maya, Kategori E Automasi ICT: Pembangunan Aplikasi Mudah Alih Tanpa Pengaturcaraan, dan Kategori F Transformasi Industri: Asas Reka Bentuk Cetakan 3D. Selain itu, para peserta juga turut disajikan dengan selingan program-program pembangunan sahsiah diri dalam melahirkan insan yang holistik dan serba boleh.
Selain menyokong gerak kerja Jawatankuasa Tetap Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Selangor, program berbentuk latihan seperti ini penting bagi memberikan pendedahan dan kemahiran asas dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovatif. Ini bagi memastikan para peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar peringkat menengah tidak ketinggalan kerana dunia hari ini sedang mengalami revolusi digital dan peningkatan tahap teknologi yang pesat dan pantas.
INNOTECH 2023 khusus untuk menghasilkan para pelajar yang berupaya membangunkan kandungan dan aplikasi digital seiring dengan inspirasi kerajaan Negeri Selangor, seterusnya akan membawa golongan muda bersama-sama Kerajaan Negeri Selangor dalam memacu pertumbuhan ekonomi negeri Selangor melalui pencapaian indeks inovasi negara dan dunia yang lebih tinggi seiring dengan Rovolusi 4.0.
Maklumat lanjut berkenaan INNOTECH 2023 boleh dilayari melalui laman sesawang innotech.kuis.edu.my.
Program Kemahiran Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Selangor 2023 (INNOTECH 2023)
- FMKK
- Hits: 1580