2 April 2024 – Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli Bin Hasan, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) hari ini merasmikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dan Majlis Iftar Bersama Individu Autisme. Ucapan aluan telah disampaikan oleh Yang Berbahagia Dr Abdul Razif Bin Zaini, Timbalan Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni mewakili Naib Canselor UIS.
Majlis menandatangani MoU pada hari ini adalah bersempena dengan Hari Autisme Sedunia iaitu pada 2hb April setiap tahun. MoU telah ditandatangani oleh YBrs Dr. Latifa Bibi Binti Musafar Hameed, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan, Jaringan Komuniti dan Industri disaksikan oleh YBrs Encik Ahmad Yani Bin Ismail, Pemangku Pengarah IRCIEF manakala pihak ENOKU diwakili oleh YBrs. Puan Lily Azura Binti Khairil Anuar, CEO ENOKU dan disaksikan oleh Puan Sarah Razan Nabihah Binti Azlan Hamzah, CBO ENOKU.
UIS dan ENOKU meneruskan iltizam memperkasakan Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan Autisme menerusi MoU ini dalam memberikan kesedaran kepada organisasi dan masyarakat membantu mereka dan ibu bapa yang mempunyai anak autisme.
Majlis diserikan dengan bacaan Al-Quran, doa dan persembahan nyanyian daripada anak autisme. Seramai 20 orang anak autisme turut menerima sumbangan hari raya daripada ENOKU dan Nasi Kandar Express yang telah disampaikan oleh YB Senator Dr. Zulkifli Bin Hasan. Majlis diakhiri dengan jamuan berbuka puasa dan solat Maghrib berjemaah di Masjid Al-Azhar UIS.
YB Senator Dr. Zulkifli Bin Hasan turut menyarankan agar syarikat-syarikat atau industri yang beroperasi di Malaysia untuk mengambil golongan Autisma bekerja agar mereka juga dapat hidup berdikari dalam dunia yang penuh cabaran. Walaupun mereka mempunyai ASD (Autisme Spectrum Disorder) namun mereka juga mempunyai bakat dan kelebihan yang tersendiri.
Majlis yang dianjurkan ini di bawah program Bandar Ilmu Putra Mahkota dengan kerjasama International Research Centre of Islamic Economics and Finance (IRCIEF) UIS, Yayasan KUIS dan ENOKU.