Berita UIS

Kota Kinabalu, 4 Jun 2024 - Masing-masing terkejut dan melihat dengan penuh keterujaan. Sebahagiannya saling bertanya, betulkah lelaki bersongkok yang sedang menikmati sarapan pagi di kantin Kolej Teknologi yayasan Sabah (KTYS) tu Ustaz Farid Ravi yang selalu bagi ceramah dalam TV tu? Salam dihulur, ternyata benarlah lelaki bersongkok itu ustaz selebriti kesukaan ramai rakyat Malaysia. Ustaz tersenyum mesra, sporting melayan permintaan untuk bergambar dan berselfie. Ternyata curahan ilmu Ustaz Farid Ravi begitu membekas dalam jiwa-jiwa yang dahagakan ilmu dan pedoman agama.

Tidak berakhir di kantin, keterujaan pegawai-pegawai kanan KTYS dapat bertemu mata jelas kelihatan ketika sesi dialog berlangsung. Sebahagian mereka tidak menyangka bahawa Ustaz Farid Ravi yang seringkali muncul di Forum Perdana Hal Ehwal Islam adalah Dato‘ Prof Madya Dr. Mohd Farid Ravi bin Abdullah, Naib Canselor Universiti Islam Selangor (UIS).

Delegasi UIS turut disertai oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Dr. Abdul Razif bin Zaini, Penasihat Undang-undang, Puan Rohaiza Mat Noh, Ketua dan Timbalan Ketua BHEP, Dr. Salman bin Zainal Abdin dan Puan Faridah binti Sabli.

Pengarah KTYS, Datuk Hajah Tah Nia binti Haji Jaman dalam ucapan pembukaannya, mengalu-alukan kedatangan rombongan UIS dan bersedia untuk membina jaringan akademik yang lebih serius dengan pihak UIS. Dato‘ Farid dalam ucapan balasnya menyatakan komitmen untuk menyediakan program pendidikan tinggi yang mampu diselesaikan dalam tempoh yang singkat tanpa mengabaikan kualiti akademik. Dr. Abdul Razif turut mencadangkan agar pertemuan ini disusuli dengan perbincangan-perbincangan awal di antara pegawai kanan kedua belah pihak bagi meneliti isu-isu teknikal berkaitan jaringan akademik yang bakal dilaksanakan.

Kedua belah pihak UIS dan KTYS bersetuju untuk merangka MOU dalam tempoh terdekat bagi merealisasikan matlamat melahirkan warga Sabah yang maju dan berdaya saing serta seimbang dari aspek intelektual dan spritual.

Universiti Islam Selangor (UIS) merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam milik penuh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).