Berita UIS

16 & 17 Julai 2024 – Kerajaan Negeri Selangor di bawah Jawatankuasa Tetap Pembudayaan Sains, Teknologi & Inovasi (STI) Negeri Selangor melalui agensi pelaksana Pusat Inovasi Teknologi Islam, UIS telah menganjurkan Program Kemahiran Teknologi & Inovasi Penjawat Awam Negeri Selangor 2024 (KeTIPS’24) yang bertempat di Universiti Islam Selangor. Seramai 50 peserta menyertai program ini dengan penglibatan beberapa agensi kerajaan negeri Selangor yang terdiri daripada 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), 9 Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan Universiti Islam Selangor.

Program ini merupakan satu inisiatif kerajaan negeri kepada penjawat awam di Negeri Selangor bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka dalam teknologi memandangkan kemajuan teknologi terus berkembang seperti teknologi Kerangka Web & Perkomputeran Awan dan Analisis & Visualisasi Data yang digunakan secara meluas dalam industri. Selain itu, program ini juga dapat meningkatkan keupayaan tenaga kerja penjawat awam dan mampu memperbaiki mutu kerja dari semasa ke semasa serta tugasan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap. Kerajaan Negeri Selangor juga berharap supaya program ini dapat melahirkan penjawat awam yang mampu berinovasi dalam perkembangan teknologi yang semakin pesat seiring dengan Revolusi Industri 4.0 berasaskan inspirasi Smart Selangor.

Universiti Islam Selangor (UIS) merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam milik penuh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).