21 September 2021 - Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) hari ini menerima kunjungan Y.Bhg. Dato’ Dr. M. Hafiz Yusoff, Pengarah Bahagian Governan IPTS, Kementerian Pengajian Tinggi bagi meninjau persediaan berkaitan pembukaan semula institusi pengajian tinggi untuk kemasukan secara fizikal tidak lama lagi.
Pertemuan ini juga bagi meneliti secara bersama persediaan kemasukkan pelajar secara berperingkat ke KUIS dari segala aspek termasuk jadual kemasukan, soalan-soalan lazim, penerimaan syarat-syarat oleh pelajar dan keluarga, kesediaan kakitangan akademik, isu vaksinasi dan lain-lain dengan berhemah dan bersistematik. Turut dibincangkan dalam sesi ini ialah kesediaan KUIS untuk mendapat pengiktirafan sebagai universiti penuh yang akan memacu bidang pendidikan ke arah melahirkan dai, ulama dan umarak.
Dalam lawatan ini, Pemangku Rektor, Y.Bhg. Prof. Madya Dr. Mohd Farid Ravi bin Abdullah dan barisan pengurusan KUIS menyampaikan rasa terharu dan terima kasih di atas kesudian pihak Jabatan Pengajian Tinggi turun padang meninjau persiapan dan berkongsi idea dalam memastikan KUIS dapat menguruskan isu-isu yang mungkin berbangkit dengan baik dan lebih tersusun.
“Saya merasakan bahawa, lawatan sebegini bukan sahaja membantu kita dalam sesi bersoal jawab, malah ianya membina hubungan baik kita dengan pihak Jabatan Pengajian Tinggi khususnya Bahagian Governan IPTS dan saya sangat positif dalam kita menyusun SOP untuk menerima semula kepulangan para pelajar yang sedang merindui KUIS sekian lama tidak berada di kampus” – Prof. Madya Dr. Mohd Farid Ravi.
Dalam pada itu, Y.Bhg Dato M.Hafiz Yusoff turut mengucapkan tahniah di atas perancangan dan gerak kerja yang sedang dipersiapkan oleh KUIS dalam menyahut perutusan Menteri Pengajian Tinggi, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad untuk membuka semula IPT secara berperingkat mulai 15 Oktober 2021. Beliau juga menyatakan bahawa ini merupakan lawatan pertama beliau ke IPTS sejak negara dilanda wabak Covid-19 tahun lalu.
“Ini merupakan lawatan pertama saya sebagai Pengarah Bahagian Governan dan juga lawatan keluar ke IPTS yang pertama bagi Kementerian Pengajian Tinggi selepas bulan Mac 2020 iaitu sejak negara dilanda pandemik Covid-19,” kata beliau.
Beliau turut menyampaikan cadangan untuk melihat KUIS sebagai salah sebuah IPTS penyedia latihan yang berpotensi untuk Program PENJANA KPT-CAP iaitu program reskilling dan upskilling yang dilaksanakan sebagai usaha membantu meningkatkan kemahiran dan kebolehan bagi melahirkan graduan berketerampilan untuk memenuhi pasaran kerja bersesuaian.
Majlis turut dihadiri oleh Ketua-ketua bahagian yang terlibat secara langsung dalam proses kemasukan pelajar ke KUIS.