1 Ogos 2022 – Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) melalui Pusat Mobiliti dan Latihan Industri hari ini memeterai sebuah Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Talent Corporation (M) Berhad (TalentCorp).
Kerjasama yang dimeterai ini bakal memberi peluang kepada pelajar-pelajar KUIS untuk menjalankan latihan Industri mereka di luar negara begitu juga sebaliknya. Ia juga diharap dapat menghidupkan semula aktiviti mobiliti yang dahulunya giat dijalankan sebelum pandemik melanda dunia melalui program MyMobiliti. Program mobiliti ini bukan sahaja boleh dijalankan secara bersemuka malahan, secara atas talian.
MoU ini turut dilihat mampu mewujudkan lebih banyak kolaborasi antaranya seperti program Young Employable Student atau YES! yang telah mula dijalankan bermula hari ini hingga 3 Ogos 2022. Diharapkan dengan termeterainya perjanjian ini, aktiviti mobiliti, latihan industri serta aktiviti penyelidikan akan lebih giat dijalankan.
KUIS diwakili oleh Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Komuniti & Industri, Yang Berbahagia Prof. Madya Dr. Mokmin bin Basri manakala TalentCorp oleh En. Mohamad Nazrul Bin Aziz, Vice President Graduate, Diaspora and Industry Partnership.
“Saya yakin, penganjuran program YES! ini akan memberi banyak ilmu pengetahuan dan pendedahan kepada para pelajar KUIS sebelum mereka keluar untuk menjalani Latihan Industri. Pendedahan awal sebegini mampu membuka minda dan cara berfikir mereka sebelum menjalani latihan atau praktikal di mana-mana lapangan kelak,” Prof. Madya Dr. Mokmin bin Basri.
KUIS sangat komited dalam mengorak langkah mengembangkan jaringan industri sama ada kolaborasi baharu dan yang sedia ada. Kerjasama dengan pihak Talentcorp hari ini melalui program Industry Academia Collaboration (IAC) merupakan langkah yang proaktif dan terbaik. Ianya selari dengan visi KUIS yang menyediakan sumber daya intelektual dan pendidikan universiti kepada masyarakat secara luas, mendorong pembangunan modal insan dan pengembangan pendidikan yang mendalam, luas dan berkualiti.