Hulu Yam Bharu, Selangor - Pihak Bahagian Pengurusan Kediaman Pelajar (BPKP) Universiti Islam Selangor (UIS) telah mengadakan satu lawatan rasmi ke Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman di Hulu Yam Bharu, Selangor. Lawatan yang disertai oleh lima orang delegasi dari UIS diketuai oleh Pengetua Bahagian Pengurusan Kolej Kediaman, Ustaz Ahmad Shafiq Bin Mat Razali.
Objektif utama lawatan ini adalah untuk berkongsi idea dan pandangan berkaitan pendekatan tarbiyyah serta disiplin yang diaplikasikan di Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman bersama rakan sinergi yang lain. Lawatan ini juga bertujuan untuk mengenal pasti kaedah-kaedah terbaik yang boleh diaplikasikan dalam usaha meningkatkan pembentukan sahsiah dan disiplin para pelajar Universiti Islam Selangor (UIS).
Sepanjang lawatan tersebut, Penguasa Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman, Puan Mazlina binti Osman telah memberikan taklimat mengenai pengurusan pentadbiran dan modul-modul yang digunakan serta pendekatan holistik yang digunakan di pusat perlindungan tersebut. Penekanan terhadap 3 skop utama iaitu Akidah, Ibadah dan Akhlak menjadi teras utama Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman kepada usaha pemurnian kepada para pelatih menjadi insan Rabbani yang cemerlang dunia dan akhirat. Lawatan ini turut membuka peluang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar-tukar pandangan serta mencari jalan kerjasama pada masa akan datang dalam bidang tarbiyyah dan pembangunan sahsiah.
Delegasi dari UIS turut menyatakan komitmen mereka untuk mengadaptasi beberapa pendekatan yang dilihat berkesan dan relevan dalam usaha memperkasakan aspek tarbiyyah serta disiplin dalam kalangan pelajar universiti. Inisiatif ini diharapkan dapat memberi impak positif dalam pembentukan warga kampus yang lebih berdisiplin, berakhlak dan berintegriti tinggi.
Lawatan berakhir dengan sesi bergambar dan penyerahan cenderahati sebagai tanda penghargaan di atas kesudian Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman menerima kunjungan rasmi tersebut