Berita KUIS

Bandar Seri Putra – Seramai 24 orang pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) hari ini boleh menarik nafas lega dan terharu apabila terpilih sebagai penerima bantuan komputer riba sumbangan Masjid Al-Azhar dan Pusat Zakat dan Wakaf KUIS.

Majlis penyerahan ini telah berlangsung di perkarangan Masjid Al-Azhar pada jam 2.30 petang dan disampaikan oleh Nazir Masjid Al-Azhar, Dr. Saifulah Samsudin kepada pelajar dan wakil mereka. Komputer riba itu diberi khusus untuk kegunaan para pelajar bagi mengikuti pembelajaran dalam talian dan keperluan menyiapkan tugasan berkaitan.

KUIS sentiasa berhasrat membantu para pelajar yang kurang bernasib baik dan yang layak menerima bantuan terutama mereka yang terkesan dengan pandemik agar pengajian dapat diteruskan sebaiknya. Masjid Al-Azhar dan Pusat Zakat dan Wakaf KUIS ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada warga KUIS dan masyarakat yang telah menyumbang sama ada secara dalam talian mahupun di kaunter zakat KUIS.

Tahniah buat semua penerima. Semoga terus maju dan cemerlang dalam pengajian di bidang masing-masing.

 

Universiti Islam Selangor (UIS) merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam milik penuh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).