22 Mac 2025 - Universiti Islam Selangor (UIS) melalui Bahagian Alumni telah menganjurkan Majlis Iftar Bersama Alumni UIS 2025 dalam usaha merapatkan ukhuwah dan memperkukuhkan hubungan antara alumni dengan pihak universiti.
Majlis yang diadakan di Restoran Nasi Kandar Express, Southville City, yang merupakan milik alumni UIS telah dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Dr. Abdul Razif Bin Zaini, Ketua Bahagian Alumni, Pn. Junizah Mardianah Binti Jaafar, Nazir Masjid Al-Azhar, Ustaz Muhammad Fairuz Bin Yusoff serta Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Pusat Matrikulasi merangkap Penyelaras Alumni Fakulti, Ustaz Muhammad Sirajuddin Bin Nik Ab Hadi selain kehadiran alumni dari pelbagai generasi.
Dalam ucapan perasmian, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni menekankan kepentingan hubungan erat antara alumni dan universiti dalam menyokong pembangunan akademik dan sosial UIS. Beliau turut mengalu-alukan sumbangan idea dan pengalaman daripada alumni dalam memperkasakan jaringan kebajikan dan pembangunan pelajar.
Sementara itu, Ketua Bahagian Alumni menyatakan bahawa program seperti ini bukan sahaja memperkukuh hubungan silaturahim, tetapi juga menjadi pemangkin untuk terus bersynergi bersama dengan Bahagian Alumni dan UIS dalam banyak lagi program yang bermanfaat pada masa akan datang.
Majlis ini juga menjadi platform penting untuk alumni bertukar pandangan, berkongsi pengalaman, serta mengenang kembali kenangan semasa menuntut di UIS. Turut diadakan sesi ramah mesra bagi mengeratkan hubungan antara alumni dengan Bahagian Alumni serta pihak pengurusan universiti.
Pihak penganjur berharap agar majlis ini dapat menjadi acara tahunan yang terus menyatukan alumni UIS, sekaligus memperkukuh jaringan ukhuwah dan kerjasama dalam pelbagai bidang.
Terima kasih diucapkan kepada semua yang hadir memberi sokongan.