Berita KUIS

Bangi, 27 April 2022 - Yang Berbahagia Profesor Madya Dato’ Dr. Mohd Farid Ravi Bin Abdullah, Rektor dan barisan Pengurusan Tertinggi Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) hari ini meraikan seramai 600 Pegawai dan Pelajar dalam Majlis Iftar Perdana dan Sumbangan Hari Raya Peringkat KUIS bagi Tahun 2022.

Majlis bersama pegawai dan pelajar yang turut disertai oleh jemputan khas daripada Lembaga Zakat Selangor, Affin Islamic Bank Berhad dan Malaysian Indian Reverted Association (MIRA) ini merupakan majlis tahunan kemuncak bulan Ramadan KUIS bagi mengeratkan lagi ukhuwah di kalangan warga KUIS.

Majlis menyaksikan penyampaian sumbangan daripada pihak KUIS yang disampaikan oleh YBhg Dato Rektor kepada pegawai dan pelajar KUIS terpilih, Petugas Ramadan Imam, Bilal dan Petugas Iftar dan Peserta Tadarus Al-Quran.

Majlis juga turut menyaksikan penyerahan mock-cheque Bantuan Peralatan Masjid, Program Penerapan Islam dan Karpet Masjid berjumlah RM31,000.00 kepada Masjid Al-Azhar KUIS sumbangan Lembaga Zakat Selangor dan penyerahan mock-cheque berjumlah RM30,000.00 kepada pihak Malaysian Indian Reverted Association (MIRA) sumbangan Affin Islamic Bank Berhad. Selain itu, pihak MIRA pula berbesar hati menyerahkan sumbangan kepada 10 orang asnaf muallaf manakala pihak Affin Bank pula telah menyampaikan sumbangan kepada 20 orang pelajar KUIS terpilih.

Terdahulu, pihak KUIS telah menyampaikan Bubur Lambuk sumbangan Lembaga Zakat Selangor selepas solat Zuhur. Warga KUIS serta semua tetamu menunaikan solat Isyak dan Tarawih secara berjemaah diikuti jamuan moreh di Masjid Al-Azhar KUIS.

Universiti Islam Selangor (UIS) merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam milik penuh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).