Berita UIS

3 April 2024 - Yang Berbahagia Dato’ Profesor Madya Dr. Mohd Farid Ravi Bin Abdullah, Naib Canselor dan barisan Pengurusan Tertinggi Universiti Islam Selangor (UIS) hari ini meraikan Pegawai, Pelajar dan Alumni dalam Majlis Iftar Perdana dan Sumbangan Hari Raya Peringkat Universiti bagi Tahun 2024. Majlis dianjurkan oleh Masjid Al-Azhar, Universiti Islam Selangor dan merupakan majlis tahunan kemuncak bulan Ramadan bagi mengeratkan lagi ukhuwah di kalangan warga UIS.

Majlis dimulakan dengan Khatam Al-Quran dipimpin oleh Imam I Masjid Al-Azhar, Al-Fadhil Ustaz Muhammad Syafee Salihin Hassan.

Majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan daripada pihak UIS yang disampaikan oleh YBhg Dato Naib Canselor kepada 153 pegawai UIS terpilih, 31 Petugas Ramadan Imam, Bilal dan Petugas Iftar dan 13 orang Peserta Tadarus Al-Quran.

Warga UIS serta semua tetamu menunaikan solat Isyak dan Tarawih secara berjemaah diikuti jamuan moreh di Masjid Al-Azhar UIS.

Universiti Islam Selangor (UIS) merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam milik penuh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).