Berita UIS

YBhg. Dato’ Profesor Dr. Mohd Farid Ravi Bin Abdullah, Naib Canselor Universiti Islam Selangor (UIS) hari ini menandatangani kontrak serahan projek siap bangunan akademik baharu daripada Jabatan Kerja Raya Selangor yang diwakili oleh Tuan Ir. Mohd Zawawi Zakaria selaku agensi pelaksana bagi projek ini.

Projek yang pernah tertangguh ini asalnya dijangka siap pada Tahun 2020, walau bagaimanapun beberapa cabaran dan isu telah berlaku terutama kesan daripada Covid-19 menyebabkan ianya tergendala. Lantikan semula kontraktor baharu dibuat pada tahun 2022 untuk menyambung kerja-kerja berbaki dan telah dapat disempurnakan dalam tempoh 18 bulan.

Projek keseluruhan bernilai RM38 juta ini merangkumi dua fasa iaitu fasa penyiapan baki kerja tertangguh bangunan akademik baharu dan fasa kedua merangkumi penaiktarafan perpustakaan Imam Al-Syafi’i UIS dan tempoh keseluruhan dijangka siap Disember ini.

Dikesempatan ini, UIS ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi terlibat terutama Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Selangor, Jabatan Kerja Raya Selangor dan Daerah Hulu Langat, kontraktor dilantik; Ibrahim Mian Sdn Bhd dan kontraktor-kontraktor NSC yang terlibat.

YBhg. Dato’ Naib Canselor sempat mengumumkan bahawa bangunan akademik baharu ini akan menempatkan Fakulti Pendidikan dan Fakulti Multimedia Kreatif dan Komputeran memandangkan bilangan pelajar bagi kedua-dua fakulti ini adalah tinggi.

“Saya harap, bangunan baharu ini dapat memberi suntikan baharu dan menaikkan lagi semangat warga FP dan FMKK khususnya untuk bekerja dengan lebih gigih dan meningkatkan kecekapan tadbir urus lalu mendukung visi UIS”.

Universiti Islam Selangor (UIS) merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam milik penuh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).