Bangi, 13 Ogos 2022 - YAB Dato Menteri Besar Selangor, Dato Seri Amiruddin Bin Shari hari ini merasmikan EKSTIVAL 25 sempena Majlis Konvokesyen KUIS Kali Ke-25 yang akan berlangsung bermula 14 hingga 18 Ogos 2022. EKSTIVAL 25 merupakan acara tahunan yang berlangsung seiring dengan Majlis Konvokesyen yang dianjurkan oleh KUIS bagi meraikan para graduan yang telah tamat pengajian dan bakal menerima ijazah dan diploma masing-masing. Namun dua tahun kebelakangan ini, apabila pandemik Covid-19 melanda seluruh negara khususnya di Malaysia telah menyekat perancangan bagi melaksanakan program seumpama ini untuk dilaksanakan secara besar-besaran.
Penganjuran EKSTIVAL 25 yang diadakan selama enam hari bermula hari ini sehingga berakhirnya Majlis Konvokesyen pada 18 Ogos 2022 merupakan inisiatif, daya usaha dan hasil kerja kumpulan mahasiswa KUIS sendiri, khususnya Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2022/2023 dengan kerjasama kesatuan pelajar KUIS. Bermula dari promosi, aturan aktiviti, pertandingan reka cipta tema dan logo, sehinggalah kepada pelaksanaan EKSTIVAL 25 ini, semuanya dicetuskan oleh mahasiswa dengan bantuan dan bimbingan daripada Jawatankuasa Ekspo dan Festival dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar, KUIS. Penglibatan sebegini juga secara tidak langsung, membolehkan mahasiswa memperkasakan kualiti kepemimpinan diri seperti kemahiran komunikasi, kepimpinan, pengurusan, dan pelbagai lagi.
Kerajaan Negeri Selangor turut menyumbang RM50,000.00 kepada KUIS khusus bagi penganjuran Ekstival 25 dan kos ini termasuk persiapan dan penyediaan sepanjang program berlangsung. Pelbagai aktiviti di sepanjang EKSTIVAL 25 kali ini antaranya Eco Run, E-Sport Competition, Sukan Rakyat, Haflah Al-Quran, Masterchef Ekstival, Superman Challenge, Talk “Listen Up Girls”, Talk “Apa Kata YDP, Malam Kesenian dan Kebudayaan, Pertandingan Kemerdekaan, Malam Mahabbah Rasul, di samping persembahan artis-artis jemputan seperti Rabbani pelbagai lagi. Para pengunjung juga berpeluang melihat pameran-pameran buku dan berpeluang bertemu dengan penulis-penulis buku terkemuka tanah air di khemah-khemah pameran yang disediakan, di samping gerai jualan dan pameran jemputan dari pelbagai syarikat dan agensi.
Selain itu, pada 14 Ogos 2022, sebuah rakaman program Tazkirah Malam Jumaat (Astro Oasis) akan diadakan di Astaka Perdana dan panel jemputan ialah YBhg. Prof Madya Dr Mohd Farid Ravi Abdullah, Rektor KUIS dan YBhg. Ustaz Elyas Ismail dengan tajuk Menganjak Dewasa jam 9.30 malam bersama Amin Idris sebagai moderator. Semoga pengisian program yang telah disusun sebaik-baiknya ini, dapat memberikan suntikan ilmiah dan rohaniah, bukanlah sekadar hiburan semata-mata.