Ranau, 21 Januari 2025 – Sekumpulan 10 mahasiswa dan 4 pegawai dari Universiti Islam Selangor (UIS) berjaya mencipta sejarah setelah menakluk puncak Gunung Kinabalu, salah sebuah destinasi pendakian paling ikonik dan tertinggi di Asia Tenggara. Program yang dinamakan “UIS di Puncak” ini merupakan sebahagian daripada Program High Performance Teambuilding yang mempunyai matlamat untuk membina pasukan yang kukuh dan berketahanan fizikal tinggi. Program ini juga memberikan makna tersendiri bersempena ulang tahun UIS ke-30 pada 15 Februari 2025 akan datang.
Ekspedisi yang telah dirancang dari tahun 2022 ini diketuai oleh Dr. Abdul Razif Zaini, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Dr. Salman Zainal Abidin, Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar serta dua orang pegawai pengiring, Encik Mohd Faizal Ramaiya dan Encik Mohammad Sarazie Ramlan. Turut menyertai pendakian, 10 orang mahasiswa diketuai oleh Pengarah Program UIS di Puncak, Saudara Mohd Aidil Ridhwan bin Rajesh, Saudara Muhammad Syarifuddin Shariff, Saudara Aziq Haikal Mohd Annuar, Saudara Mohd Syazwi Zainal, Saudara Muhammad Shah Razie Ahad, Saudara Muhammad Huzzaime Zainal, Saudara Ammar Qayyum Abdul Rahim, Saudara Muhammad Izaan Izani, Saudara Muhammad Azlen Abd Rahman dan Saudara Muhammad Irfan Mu’izz Muhammad Nazam.
Kesemua pendaki dibimbing oleh Malim Gunung berpengalaman, Encik Annwot Roosmain. Terdahulu, pendaki memulakan pendakian pada hari sebelumnya sejauh 6 kilometer daripada Timpohon Gate dan berehat semalaman di Panalaban.
Pendakian bermula jam 3.00 pagi pada awalnya berhadapan dengan cabaran fizikal dan mental yang tinggi apabila pendaki terpaksa menempuh perjalanan daripada Panalaban ke puncak gunung dengan suhu serendah 3 darjah celcius dan kelajuan angin selaju 7km/jam.
Seawal jam 5.30 pagi, kumpulan pertama pendaki telah berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu yang berketinggian 4095.2 meter. Di puncak gunung yang berangin dan dingin, bendera UIS dan bendera UIS di Puncak telah berjaya dikibarkan. Ini adalah sebahagian daripada usaha mereka dalam mempromosikan UIS dan menzahirkan kebanggaan dalam mengangkat misi UIS untuk terus mencapai kecemerlangan yang lebih tinggi pada masa hadapan. Pendaki turut melaksanakan aktiviti Kuliah Lima Minit (KULIM) yang menjadi identiti bagi mahasiswa UIS sebelum memulakan perkuliahan di kampus. KULIM memberi peluang kepada para mahasiswa untuk berkongsi idea dan mengingatkan akan pentingnya keseimbangan antara ilmu dunia dan akhirat.
Program “UIS di Puncak” ini bukan sahaja memberi pengalaman pendakian yang penuh bermakna, malah memberi peluang kepada mahasiswa menghayati konsep ibrah atau pengajaran yang boleh diambil dari setiap pengalaman dalam hidup. Kejayaan menakluk puncak Gunung Kinabalu tentunya memberi satu kenangan yang tidak akan dilupakan dan turut menjadi bukti komitmen UIS dalam memupuk keseimbangan antara akademik, rohani dan sosial dalam kalangan mahasiswanya.
“Mendaki Gunung Kinabalu bukan sesuatu yang mudah dan memerlukan ketahanan fizikal dan mental yang tinggi. Walaupun setiap pendaki mempunyai tahap keupayaan yang kesihatan yang berbeza, semua pendaki telah melaksanakan misi UIS di Puncak dengan jayanya” Dr. Abdul Razif Zaini.