19 Julai 2024, Bangi – Universiti Islam Selangor (UIS) melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persatuan Institusi Tahfiz al-Qur’an Negeri Selangor (PITAS) dan Madrasah Tahfiz al-Qur’an Malaysia (PERMATA) dalam usaha menjalinkan kerjasama untuk menyediakan peluang pendidikan kepada pelajar-pelajar tahfiz yang telah menduduki peperiksaan SPM.
MoU ini disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Profesor Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah, Naib Canselor mewakili UIS dan disaksikan oleh Dr. Abdul Razif Zaini, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni. Manakala PITAS diwakili oleh YBhg. Tuan Haji Muhammad Hafiz bin Mohamad Haneefa, Pengerusi; dan PERMATA oleh Presidennya iaitu YBhg. Tuan Haji Monolito bin Haji Mohd Dahlan.
Bahagian Alumni UIS turut mengambil inisiatif menjalin kerjasama strategik dengan Usrah Associates bagi memberi alternatif kepada staf, pelajar, komuniti dan Alumni UIS untuk menyumbang kepada Tabung Dana Alumni melalui instrumen takaful dan servis. Tabung Dana Alumni ini adalah suatu inisiatif yang dilaksanakan bagi membantu Alumni UIS yang ditimpa musibah seperti kematian, kebakaran, kemalangan lain-lain.
YBhg. Dato’ Naib Canselor turut berkesempatan menyantuni kira-kira 200 orang tetamu yang terdiri daripada ibu bapa dan pelajar tahfiz yang hadir menyaksikan majlis ini. Ibu bapa dan para pelajar berpeluang untuk mengetahui tawaran program-program berkaitan di UIS dan juga membuka peluang kepada mana-mana pelajar tahfiz yang berminat untuk meneruskan pengajian di peringkat Diploma Tahfiz Al-Quran dan Al-Qiraat. Sesi temuduga pelajar berlangsung sebaik habis majlis di bilik-bilik yang telah disediakan