Pulau Mabul, 9 Jun 2024 - Barangkali hampir semua maklum berkenaan kewujudan Pasar Terapung di Thailand, Sabah dan beberapa lokasi lain. Namun, barangkali jarang sangat dilihat sekolah terapung atau Madrasah Terapung. Bunyinya macam janggal, tapi itulah hakikat yang dapat dilihat di Pulau Mabul. TNCHEPA UIS, Dr Abdul Razif Zaini, Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Dr Salman Zainal Abidin dan seorang wakil pelajar UIS, Nor Habibah Hassan menyertai Misi Melestarikan Pendidikan Etnik Palaoh yang dianjurkan oleh Muslim Care dan IPG Tawau.
Palaoh, atau lebih dikenali dengan Bajau Laut adalah manusia unik yang mampu menyelam tanpa bantuan alat pernafasan. Sebahagian mereka mampu bertahan dalam air selama 30 minit memburu ikan tanpa sebarang bantuan alat pernafasan. Seorang tenaga pengajar madrasah yang didirikan untuk di Pulau Mabul, Ustaz Abdul Kuddus mampu menyelam selama 3 minit. Barangkali latar belakang beliau dari Etnik Bajau Darat tidak menyamai kehandalan etnik Palaoh atau Bajau Laut yang sebahagian besar hidup mereka di dalam sampan.
Sukar dipercayai apabila dimaklumkan bahawa sebaik sahaja dilahirkan terus saja anak-anak Palaoh dilemparkan dilautan. Tapi itulah hakikat kehidupan mereka. Mereka diajar berenang sebelum mampu berjalan. Maka disebabkan itulah anak-anak Palaoh jauh ketinggalan dari aspek pendidikan. Bahkan ibubapa keberatan untuk membenarkan anak-anak ke daratan untuk menjalani sesi persekolahan sebagaimana anak-anak yang lain.
Justeru sebuah NGO, Muslim Care Malaysia dengan kerjasama para pensyarah IPG membangunkan sebuah modul khas, "Madrasah Terapung" untuk menggalakkan pendidikan anak-anak Palaoh yang sejak sekian lama terpinggir. Projek yang dibiayai oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad bagi pembelian sebuah bot untuk dijadikan kelas yang kemudiannya dinamakan "Madrasah Terapung". Bot dibawa parkir berdekatan sampan-sampan etnik Palaoh, seterusnya anak-anak mereka akan datang menaiki bot untuk menjalani sesi pembelajaran selama 2 jam dengan kekerapan 3 kali seminggu.
Ketua Penyelaras Program Community Research Based Education (Madrasah Terapung) Dr.Halimatus Saadiah Mat Saad dan Penyelaras IPGKT dan Muslim Care Ustaz Wan Azmi Wan Omar, keduanya merupakan Pensyarah Kanan di IPG Tawau mengharapkan agar dalam tempoh beberapa tahun akan datang, pelajar-pelajar etnik Palaoh batch pertama seramai 12 orang ini akan dapat dibimbing untuk menjadi tenaga pengajar dan bakal menabur bakti kepada anak-anak bangsa mereka suatu hari nanti.