Disediakan oleh :
Safinah Ismail

Waktu cuti semester merupakan peluang keemasan kepada pelajar KUIS untuk memenuhi aktiviti yang amat mulia lagi bermanfaat iaitu menghafal al-Quran secara ekspres.   Daurah        Al-Quran fi Qalbi (DAQIQ’17) dengan tema “Melestarikan Madrasah Al-Quran” yang dianjurkan oleh Masjid Al-Azhar KUIS dengan kerjasama Jabatan Tahfiz Al-Quran dan Al-Qiraat KUIS telah dilaksanakan dengan jayanya pada 1-14 April 2017 di Masjid Al-Azhar KUIS. Seramai 13 orang peserta yang menyertai  daurah ini dari pelbagai fakulti. Daurah ini dapat membantu pelajar  terutama pelajar yang bukan berlatar belakangkan tahfiz untuk menghafal, menghayati seterusnya membudayakan Al Qur’an dalam kehidupan.

Objektif daurah ini adalah untuk melahirkan pelajar yang mahir membaca, menghafal dan mentadabbur Al Quran selain memberi kesedaran akan peranan dan tanggungjawab sebagai khalifah yang mempunyai ruh qurani di atas muka bumi.  Ia juga melatih  pelajar menjadi duat yang mempunyai ruh al-quran  dalam kehidupan dan melahirkan generasi al-Quran yang cemerlang di dunia dan di akhirat serta menggembleng kerjasama erat pelbagai pihak ke arah membudayakan Al Qur’an dalam kehidupan. Antara pengisian program adalah hafalan juz 29, solat berjamaah dan sunat , tadabbur al-Quran (surah pilihan), taujihat huffaz, liqa’ al-quran, riadah @ sukan sunnah, berkayak, Qiamulail, puasa sunat isnin khamis, kelas tajwid dan tayangan video musafir maal quran oleh syeikh fahad al kandari.

Bagi Ikmal Rafiq, terlalu banyak hasil yang diperoleh dalam DAQIQ 17. Sebagai seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, sejujurnya beliau sangat cemburu melihat pelajar-pelajar dari FPPI yang banyak mendalami ilmu agama. Jadi, beliau mengambil keputusan untuk menyertai program ini untuk mendekatkan diri dengan Al-Quran. Sepanjang dua minggu program ini berlangsung, telah banyak surah yang beliau dapat hafal dari juz 29. Beliau dianugerahkan sebagai peserta terbaik telah menyebut bahawa beliau dapat rasakan bahawa aktiviti hariannya sangat berbeza dibandingkan dengan cuti-cuti sebelum ini.

Manakala Zahra Bahirah dari Sarjana Muda Usuluddin dengan Multimedia pula mengatakan sebelum ini beliau tidak berapa mengambil berat untuk menghafal al-Quran tetapi setelah beliau berada dalam program ini sedikit sebanyak ia mengetuk jiwanya untuk menghafal al-Quran lebih-lebih lagi setelah melihat tayangan video yang ditayangkan. Ia benar-benar menyentuh hati dan sedar bahawa mulianya insan-insan yang menghafal dan menghayati al-Quran dalam hidupnya.

Selain itu, dalam program ini juga diselitkan juga slot taujihat huffaz yang bermotifkan memberi galakkan dan semangat terhadap peserta agar istiqamah berdamping dengan al-quran. Banyak tips-tips diberikan dan cerita-cerita sebagai targhib kepada peserta. Slot ini dipimpin oleh ustaz dan ustazah KUIS dan Daie Hazman. Pada keseluruhannya program ini memberikan banyak manfaat dan memberikan input berguna bak kata seorang murabbi "biar sedikit tetapi berkualiti dan konsisten".

daqiq 1   daqiq 2

Universiti Islam Selangor (UIS) merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam milik penuh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).