Berita UIS

UIS, 27 Mei 2025 – Universiti Islam Selangor (UIS) telah menerima kunjungan rasmi Yang Amat Dihormati Senator Dato’ Setia Haji Salehuddin bin Saidin, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sempena Program Turun Padang Pengerusi MAIS yang berlangsung di Dewan Senat UIS, hari ini.

Ketibaan delegasi MAIS telah disambut oleh Naib Canselor UIS, YBhg. Dato’ Prof. Dr. Mohd Farid Ravi bin Abdullah bersama barisan pengurusan tertinggi universiti. Dalam ucapan aluan, Naib Canselor UIS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap komitmen berterusan MAIS dalam menyokong pembangunan UIS.

Naib Canselor UIS sempat membentangkan Transformasi Operasi UIS-Pemerkasaan Strategik yang menyeluruh meliputi penambahbaikan aspek operasi, akademik dan kerjasama industri. Antara inisiatif utama ialah penstrukturan semula pentadbiran, pemerkasaan wakaf dan pengukuhan pembelajaran dalam talian serta pendigitalan kampus melalui platform seperti pembangunan sistem permohonan pintar WADAH dan NaDi.

Dalam ucapan balas Pengerusi MAIS menyatakan sokongan terhadap transformasi UIS berasaskan pembangunan modal insan berpandukan nilai Islam. Beliau mencadangkan beberapa penambahbaikan termasuk persiapan Istiadat Pemasyhuran dan Konvokesyen UIS, penjenamaan sebagai Universiti Wakaf, pelaksanaan pelan strategik, peningkatan pengambilan pelajar, kerjasama dengan sektor korporat, strategi promosi, pengukuhan integriti tadbir urus, serta penjagaan imej dan reputasi institusi Islam.

Kunjungan ini turut disusuli dengan sesi lawatan kampus melibatkan Kolej Kediaman, fakulti, Pusat Data NaDi, Studio MCP dan Pusat Konvensyen UIS.

Program ini turut dimanfaatkan sepenuhnya dengan sesi taklimat dan perbincangan antara Pengerusi MAIS, Setiausaha Dewan di-Raja Selangor YBhg. Datin Paduka Hajah Hanafisah serta barisan kepimpinan tertinggi UIS bagi membincangkan persiapan Istiadat Pemasyhuran dan Konvokesyen UIS Ke-27 yang dijadual berlangsung dari 19 hingga 21 Julai 2025. Penekanan turut diberikan kepada aspek protokol diraja, penjenamaan istiadat serta penyelarasan pelaksanaan selaras dengan imej dan martabat institusi di bawah naungan MAIS.

Universiti Islam Selangor (UIS) merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam milik penuh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).