Bangi, 9 Ogos 2024 – YAD Tan Sri Dato' Seri Abdul Aziz bin Mohd Yusof, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor merangkap Ahli Lembaga Pengarah UIS harini merasmikan Auditorium baharu yang diberi nama Auditorium Mohd Adanan Isman sempena mengenang jasa dan bakti Almarhum mantan Presiden dan Rektor ke-2 Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor itu yang bersara pada 31 Mac 2010.
Dewan Kuliah baharu turut dirasmikan dengan nama Dewan Kuliah Mohd Tamyes Abd Wahid bersempena nama mantan Mufti negeri Selangor. Ini merupakan satu tanda penghormatan atas jasa beliau sebagai tokoh agamawan yang telah memegang jawatan sebagai Mufti selama 23 tahun dari 16 Mac 1998 sehingga 20 Mei 2021.
YBhg. Dato' Profesor Dr. Mohd Farid Ravi Bin Abdullah, Naib Canselor UIS sebelumnya telah menyampaikan amanat di Perhimpunan Bulanan Ogos bersama warga UIS. Beliau memberi penekanan dalam isu kemasukan pelajar dan memohon agar semua warga UIS berganding bahu untuk terus mempromosi universiti. Ucapan penghargaan turut diberikan kepada semua fakulti, jabatan dan bahagian yang telah bersungguh-sungguh membuat promosi kemasukan pelajar dalam dan luar negara.
Bersempena bulan kemerdekaan ini, UIS turut mengambil kesempatan untuk meraikan dan mengibar Jalur Gemilang sebagai tanda patriotik dan semangat kenegaraan. "Semoga semangat patriotik sentiasa ada dalam diri kita, mengenang jasa-jasa dan pengorbanan yang pernah dilalui oleh nenek moyang kita dahulu sehingga membolehkan kita merdeka. Melalui kibaran Jalur Gemilang, kita semua bukan sahaja memperlihatkan rasa cinta kepada tanah air, malah mengingati dan menghargai jasa para pejuang kemerdekaan yang telah berkorban demi kemerdekaan dan kedaulatan negara ini," Dato' Profesor Dr. Mohd Farid Ravi Bin Abdullah.
Seluruh tetamu dan warga UIS turut menyaksikan montaj Satu Tahun UIS bersempena penaiktarafan dari Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) kepada Universiti Islam Selangor Julai 2023-Julai 2024. Majlis ini berakhir dengan gimik memotong kek dan menandatangani plak bagi nama kedua-dua dewan sebelum seluruh dewan menyanyikan lagu Jalur Gemilang dan Tanggal 31 Ogos.