BANGI : Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) telah dilantik untuk melaksanakan program-program quick win di gugusan pendidikan yang merangkumi radius 5 hingga 10 kilometer di sekitar KUIS.
Sehubungan itu, Persidangan Meja Bulat diadakan bagi menyediakan Blueprint Pelan Tindakan Gugusan Pendidikan Negeri Selangor yang berlangsung di Bangi Resort Hotel, Bandar Baru Bangi pada 29 dan 30 September 2020 dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan.
Majlis dirasmikan oleh Encik Muhammad Hafiz Bin Shaari, Setiausaha Bahagian (Pengurusan Sumber Manusia), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor merangkap Ketua Kluster kepada Kluster Pendidikan bagi menggantikan YAB Dato’ Menteri Besar Selangor yang sedang menjalani kuarantin di rumah bagi mematuhi arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebaik kepulangan beliau dari program di Sabah.
Penganjuran persidangan meja bulat ini bertujuan untuk mengumpul data dan input-input daripada pihak berkepentingan seperti jabatan dan agensi kerajaan, industri, institusi pendidikan, pimpinan masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO’s) dan lain-lain. Persidangan ini dibahagikan kepada lima kluster iaitu kluster Ekonomi, Agensi, Institusi, Sains, Teknologi dan Alam Sekitar dan Komuniti yang terdiri daripada 250 peserta.
Diharapkan dengan berlangsungnya persidangan ini, objektif bagi membangunkan Bandar Ilmu yang komprehensif dan sistematik dapat dilaksanakan dengan berkesan.