Disediakan oleh :
Raja Nor Ashikin binti Raja Ramli

Bandar Seri Putra-Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dengan kerjasama Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIS) telah menganjurkan program Bicara Pasca Rang Undang-Undang Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 untuk memberikan penerangan dan penjelasan berkaitan pasca RUU Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 15 Julai 2019 dan Dewan Negara pada 31 Julai 2019.

Ia juga merupakan suatu medium kepada Peguam Syarie, kakitangan awam, pensyarah, pelajar dan masyarakat umum untuk mengetahui apakah persediaan mereka dalam mengisi peruntukan-peruntukan dalam RUU Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019, mengenalpasti masalah-masalah yang bakal dihadapi serta mencari solusi penyelesaian yang terbaik dalam setiap isu dan permasalahan yang timbul.

Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Yang Berhormat Datuk Seri Dr Mujahid Bin Yusof dan turut sama Timbalan Rektor Pengurusan Korporat KUIS, Dr Zulkifli bin Hj Abd Hamid yang merupakan Pemangku kepada Rektor KUIS dan Presiden PGSM, Tuan Musa bin Awang serta barisan ahli panel yang ternama dan berpengalaman dalam bidang perundangan.

Dalam ucapannya beliau turut “berharap agar semua Peguam Syarie dapat bersama-sama Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) sebagai teraju utama untuk mengisi kehendak-kehendak dan peruntukan-peruntukan di dalam Akta berkenaan. PGSM boleh menubuhkan suatu Jawatankuasa Penaja (Protem Committee) bagi menggerakkan usaha pembentukan Badan Peguam Syarie Wilayah Persekutuan dan Majlis Peguam Syarie Wilayah Persekutuan. Insha-Allah kami di pihak kerajaan dan kementerian akan memberikan bantuan dan sokongan yang sewajarnya kepada pihak PGSM”.

Dr Zulkifli turut “mengucapkan ribuan terima kasih kepada PGSM kerana hasil memorandum persefahaman yang dijalankan pada 27 Jun 2019 telah menjadikan program ini sebagai program pertama hasil jalinan kerjasama tersebut”. Manakala Presiden PGSM turut “berterima kasih di atas kesudian pihak KUIS bekerjasama dalam menjayakan program ini”.

Program ini melibatkan seramai 400 orang peserta terdiri daripada Peguam-peguam Syarie, Hakim-hakim Syarie, pegawai-pegawai institusi perundangan dan penguatkuasaan syariah, ahli akademik, pengurusan KUIS, pelajar KUIS dan pelajar IPT Awam dan swasta serta masyarakat awam.

ruu 01ruu 02ruu 03ruu 04

Universiti Islam Selangor (UIS) merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam milik penuh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).