15 Februari 2023 - Program Company Talents Employability (CTEP) dengan kerjasama dari HRD Corp telah dianjurkan dan mendapat sambutan hebat khususnya daripada bakal graduan dan para pelajar tahun akhir Universiti Islam Selangor.
Program ini membuka peluang kepada lebih seribu pekerjaan yang terdapat dalam industri di Malaysia dan berkongsi tip penting membuat persediaan awal sebelum, semasa dan selepas mendapat pekerjaan. Cara-cara menyediakan resume juga disediakan agar bakal graduan tidak membuat kesilapan.
Selain itu, pengalaman - pengalaman kerjaya turut dikongsikan oleh beberapa individu yang telah berjaya dalam bidang masing-masing antaranya ialah En. Abdul Khaliq Putra, Assistant Vice President II Syarikat Air Selangor, Pn Fatehah Abdul Latip, Pengasas Tadika Celik Pintar, En. Gabriel Chan, Pengurus Projek Troppers Sdn Bhd dan beberapa individu hebat yang lain.
Program ini merupakan salah satu program yang telah disusun dalam penganjuran Karnival dan Pameran Sempena Sambutan Ulang Tahun Penubuhan KISDAR-KUIS-UIS Ke 28 yang telah berlangsung dari 11-15 Februari 2023 di Pusat Konvensyen KUIS. Dengan berakhirnya program CTEP, maka Karnival dan Pameran ini juga melabuhkan tirainya.
Sambutan yang sangat baik telah diberikan sepanjang program berlangsung daripada warga UIS, mahasiswa dan mahasiswi, tetamu-tetamu jemputan dan penduduk sekitar.