Bangi, 4 Mac 2022 - Majlis Penutup Program Pembangunan Latihan / Kemahiran Sains, Teknologi Dan Inovasi (KSTI 2021) Negeri Selangor 2021 yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Tetap Pembudayaan Inovasi dan Smart Selangor dengan kerjasama Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan DKSS Strategic Solutions telah berlangsung dengan jayanya. Majlis telah dirasmikan oleh YAB. Dato' Seri Menteri Besar Selangor, YAB. Dato’ Seri Amirudin Bin Shari.
Program yang berlangsung dari 18 sehingga 31 Disember 2021 bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar sekolah menengah khususnya pelajar tingkatan 3 hingga tingkatan 5 dari golongan B40 dari seluruh Selangor berkenaan kemahiran asas dalam bidang-bidang berkaitan Sains, Teknologi dan Inovatif. Ini bagi memastikan golongan B40 tidak ketinggalan kerana negara sedang mengalami revolusi digital dan peningkatan tahap teknologi yang pesat. Malah kedatangan Covid semakin memangkinkan perubahan dan ilmu teknologi canggih.
Program ini juga mampu menghasilkan pelajar-pelajar yang berupaya menyelesaikan masalah dengan menggunakan bantuan aplikasi dan teknologi terkini yang kreatif seiring dengan inspirasi Smart Selangor untuk menjadikan Selangor sebagai Negeri Pintar yang utama menjelang tahun 2025. Matlamat program ini adalah memberikan kefahaman asas yang diperlukan generasi digital yang bakal bertapak di Malaysia dan sedang giat dilancarkan oleh kerajaan Malaysia melalui IR 4.0 berkaitan sains, teknologi dan inovasi.
YAB Dato’ Seri Amirudin selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembudayaan Inovasi Dan Smart Selangor menyatakan bahawa, “…Program seperti ini diharapkan dapat membantu merealisasikan agenda kerajaan Negeri Selangor dalam membentuk negeri yang lebih maju serta berdaya saing untuk pembangunan modal insan dan melahirkan rakyat negeri Selangor yang terlatih dan berkemahiran tinggi khususnya di bidang Sains dan Teknologi…”
KUIS dan DKSS Strategic Solutions berjaya mengekalkan momentum pembelajaran atas talian melalui pendekatan Digital Treasure Hunt yang digunakan untuk menarik minat peserta, di samping menjana kreativiti dan inovasi bagi mewujudkan generasi Malaysia yang bijak menggunakan teknologi dalam menyelesaikan setiap cabaran tugasan. Program KSTI2021 telah menarik minat seramai 389 orang pelajar sekolah menengah dari lebih 85 buah sekolah yang terletak di 9 daerah utama Negeri Selangor untuk mendaftar.
Malah, penganjuran Program KSTI2021 menuntut komitmen padu semua pihak bagi memastikan kelancaran sepanjang program yang diadakan pada penghujung tahun iaitu semasa cuti sekolah sedang berlangsung, tambahan pula pada masa yang sama rakyat Negeri Selangor turut terkesan dengan bencana banjir besar yang melanda sebahagian besar kawasan utama Negeri Selangor.
Program seperti ini berpotesi untuk diteruskan pada masa hadapan dengan lebih banyak sekolah yang terlibat dan memberi lebih manfaat yang kepada anak-anak Selangor dan seterusnya menjadi pemangkin pembangunan digital negeri Selangor dan menyokong pelaksanaan Smart Selangor demi mendukung misi Melestarikan Pembangunan Dan Kemakmuran Simetri, Pintar Dan Peduli Rakyat dan visi Selangor Negeri "Smart And Caring (SAC)".