7 Mac 2024 - Demikianlah untaian kata yang sesuai diungkapkan terhadap para penyumbang dana bantuan dan pembayar zakat kepada Universiti Islam Selangor bagi tahun 2023.
Justeru, bagi menghargai para penyumbang dan penderma yang telah menceriakan kehidupan pelajar-pelajar asnaf dan B40 Universiti Islam Antarabangsa Selangor (UIS), Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Yayasan KUIS telah menganjurkan Majlis Apresiasi Bersama Penyumbang pada 7 Mac 2024.
Majlis yang diadakan di Tenera Hotel, Bandar Baru Bangi dihadiri oleh kira-kira 41 orang para penyumbang yang mewakili badan-badan korporat seperti Bank Islam Berhad, Maybank Islamic Berhad, Bank Rakyat, Perbadanan Harta Intelek Malaysia, Dana Asy-Syakirin 2, Permodalan Nasional Berhad, Pelaburan Hartanah Berhad, Yayasan Islam Darul Ehsan, Yayasan Takwa Wilayah Persekutuan dan lain-lain lagi. Selain itu, turut dijemput adalah penyumbang perseorangan yang membuat pembayaran zakat perniagaan di UIS.
Naib Canselor UIS, YBhg. Dato’ Prof Madya Dr. Mohd Farid Ravi dalam ucapan pembukaannya menzahirkan penghargaan yang tinggi di atas budi luhur para penyumbang terhadap para pelajar UIS. Beliau turut menjelaskan bahawa melalui dana-dana yang disumbangkan, pihak UIS telah melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan seperti program Dapur Asnaf yang bertujuan untuk memastikan pelajar-pelajar asnaf dan B40 tidak dipinggirkan keperluan asas mereka. Dengan slogan, “Tiada pelajar UIS kelaparan”, pihak UIS telah menyalurkan RM15 melalui e-kupon setiap hari kepada pelajar-pelajar terpilih bagi memastikan mereka dapat menikmati makanan secara percuma di kafe-kafe di UIS.
Majlis juga turut diserikan dengan gimik pelancaran Biasiswa Peribumi dan Biasiswa Komuniti yang merupakan usaha awal pihak UIS menyediakan pendidikan percuma kepada pelajar-pelajar asnaf dan B40. Berbekalkan dana sedia ada serta sokongan sumbangan badan-badan korporat, Biasiswa Peribumi dan Biasiswa Komuniti kini memberi tajaan penuh kepada 4 orang pelajar.
Dalam ucapan penutupnya, YBhg. Dato’ Naib Canselor sekali lagi menzahirkan penghargaan kepada para penyumbang dan mengharapkan agar dapat terus berkongsikan rezeki yang dikurniakan bagi melestarikan pendidikan dan kebajikan para pelajar B40 dan fakir miskin yang sedang menjalani sesi pembelajaran di UIS.