3 Oktober - Klang, Selangor - Seramai 34 orang terdiri daripada 19 orang pelajar dan 15 orang staf telah mengadakan lawatan ke Istana Alam Shah Klang yang dianjurkan oleh Bahagian Pengurusan Kediaman Pelajar (BPKP) Universiti Islam Selangor (UIS). Lawatan ini diadakan untuk meraikan pelajar-pelajar yang telah memenangi pertandingan bilik tercantik di kolej kediaman pada sesi I 2023/2024.
Lawatan ini diketuai oleh Dr Salman bin Zainal Abidin dan dibantu oleh Us Mohd Izzudin bin Pisol selaku pensyarah Fakulti Pendidikan menggantikan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni UIS yang tidak dapat turut serta dalam lawatan ini. Delegasi UIS tiba pada jam 10 pagi dan telah diraikan oleh Orang Besar Bergelar Y.D.M. Tengku Seri Andika Diraja, Tengku Dato’ Iskandar Shah bin Tengku Ismail Shah Alhaj dan Orang Besar Istana iaitu Y.D.M. Engku Seri Perdana, Raja Dato’ Zaib Shah Alhaj bin Raja Mohamad dan Y.D.M. Engku Seri Puri, Raja Datin Paduka Hajah Marthiah binti Raja Amran, Ustaz Muhammad Anas bin Misbah dan Puan Noor Harlina binti Baki.
Lawatan dimulakan dengan taklimat berkaitan pengurusan Masjid Istana Alam Shah, kemudian ke Balai Tengah, Balai Santapan Diraja, Balai Tetamu, Balai Menghadap, Balairung Seri,Pejabat DYMM Sultan Selangor, Balai Pengampunan Diraja, Balai Mesyuarat Ahli Dewan Diraja dan Galeri Bola Sepak Diraja. Lawatan diakhiri dengan kunjungan ke Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz dimana disini ditempatkan koleksi-koleksi barangan dan susur galur kesultanan negeri Selangor dari awal pemerintahannya sehingga kini.
Selain pelajar yang memenangi pertandingan bilik tercantik turut serta ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UIS dan pelajar Non Muslim Sabah serta seorang pelajar Kemboja dimana lawatan ini bertujuan memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai protokol istana dan menambah pengetahuan berkaitan sejarah pemerintahan di negeri Selangor. Rata-rata pelajar dan staf yang hadir amat bersyukur kerana diberikan peluang untuk turut serta dalam lawatan ini yang mana rakyat diberi peluang secara terbuka untuk melihat dengan lebih dekat koleksi dan suasana di dalam istana alam Shah di Klang Bandar Diraja yang selayaknya dibuka hanya kepada golongan bangsawan dan yang berkenaan sahaja.
Semoga dengan lawatan seperti ini mampu merapatkan jurang perbezaan antara rakyat dan pemerintah dan membentuk keharmonian dalam pemerintahan kerajaan Negeri Selangor ke arah negeri yang maju dan cemerlang di masa hadapan. Generasi muda perlu diterapkan dengan nilai-nilai menjunjung kasih dan memelihara kedaulatan diraja demi menjamin keharmonian dan kesejahteraan negeri yang tersohor ini.