Bangi, 21 Mac 2025 – Naib Canselor Universiti Islam Selangor (UIS), Dato' Profesor Dr. Mohd Farid Ravi bin Abdullah, hari ini meraikan seramai 100 orang warga emas, golongan kelainan upaya dan komuniti setempat pelbagai agama dalam Program Iftar Bersama Warga Emas, Golongan Kelainan Upaya (OKU) dan Komuniti Pelbagai Agama. Majlis ini berlangsung di Auditorium Mohd Adanan Isman, Universiti Islam Selangor (UIS) yang terletak di kawasan Bandar Ilmu Putra Mahkota, Selangor.
Program iftar ini diadakan untuk menghargai golongan kelainan upaya, warga emas, dan komuniti setempat dalam sebuah acara berbuka puasa yang bertujuan mengukuhkan perpaduan, keharmonian dan kebersamaan, tanpa mengira latar belakang. Program ini juga bertujuan untuk membina masyarakat yang inklusif, menghargai semua golongan, serta menggalakkan semangat kasih sayang dan keadilan terutama sekali di bulan Ramadan yang penuh berkah.
Majlis ini dihadiri oleh sekitar 500 orang tetamu, termasuk pegawai kerajaan negeri Selangor, barisan pengurusan UIS, jawatankuasa dan ketua komuniti dari gugusan Bandar Ilmu Putra Mahkota, serta warga emas, golongan kelainan upaya dan komuniti pelbagai agama sekitar.
Acara diserikan dengan bacaan Al-Quran oleh Saudari Nor Hidayu Binti Mohd Yusoff, seorang anak OKU penglihatan, diikuti dengan bacaan doa dan persembahan nyanyian oleh Saudara Muhammad Al Fateh Bin Uwaisilqrani dan Saudara Umar Bin Hafizal, yang merupakan anak-anak autisme. Selain itu, seramai 100 orang warga emas dan OKU dari pelbagai agama menerima sumbangan hari raya yang disampaikan oleh Dato’ Naib Canselor UIS. Sumbangan ini disediakan oleh Bank Simpanan Nasional, Synchronetwork Sdn Bhd, IRCIEF-UIS dan komuniti setempat. Majlis turut diserikan dengan sesi pemotongan kek bagi meraikan golongan warga emas dan OKU.
Dalam ucapannya, Dato’ Profesor Dr. Mohd Farid Ravi bin Abdullah menyatakan, "UIS sentiasa komited dalam merealisasikan konsep inklusif di Selangor, di mana setiap golongan, tanpa mengira perbezaan, dapat bersama-sama menyertai aktiviti kemasyarakatan. Ini memberi kesedaran tentang pentingnya keterlibatan, penghargaan dan pemahaman terhadap semua golongan dalam masyarakat. Menjaga golongan yang rentan bukan sahaja kewajiban sosial, tetapi juga satu tanggungjawab moral yang perlu kita galas bersama."
Di penghujung majlis, semua tetamu bersama-sama menikmati juadah berbuka puasa dalam suasana muhibbah yang merayakan kepelbagaian bangsa dan budaya, serta menunaikan solat Maghrib berjemaah di Masjid Al-Azhar UIS.