Berita UIS

31 Januari – Universiti Islam Selangor (UIS) hari ini memeterai empat (4) buah Memorandum Persefahaman (MoU) bagi tempoh lima (5) tahun dengan tiga (3) agensi utama Kerajaan Negeri Selangor termasuklah Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS), Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor (JPSS), dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). UIS juga turut memperbaharui MoU dengan PGSM buat kali ketiga bagi tempoh dua (2) tahun yang akan berakhir pada tahun 2025 yang mana sepanjang tempoh tersebut pelbagai manfaat telah dicapai dengan jayanya.

MoU ini bagi mencapai persefahaman dalam menjalin pelbagai aktiviti kerjasama seperti membangun dan membentuk jaringan kepakaran, berkongsi kepakaran dalam bidang penyelidikan, penerbitan, dan informasi, menjalankan program penyelidikan, penerbitan jurnal serta persidangan, meningkatkan pengetahuan dan kemahiran melalui latihan, pendidikan serta kursus-kursus untuk memenuhi keperluan semasa, menempatkan pelajar-pelajar untuk menjalani latihan industri, dan juga menjalankan kerjasama berkaitan apa-apa bidang lain yang akan dipersetujui kelak oleh kedua-dua pihak.

Sebagai bukti komitmen pihak- pihak terhadap MoU yang telah dimeterai, Fakulti Syariah & Undang-undang turut menganjurkan satu forum bertajuk "Pekerja Cemerlang, ldaman Majikan" yang merupakan gabungan program Industrial Talk dan program persediaan latihan industri dengan penglibatan khas panel dan moderator daripada JAKESS, JPSS, JAIS, dan PGSM. Untuk makluman, Program Industrial Talk dianjurkan sebagai aktiviti tambahan dalam proses Pengajaran & Pembelajaran (P&P), manakala program persediaan latihan industri pula merupakan program yang memfokuskan kepada persediaan pelajar semester akhir untuk menjalani Latihan industri.

Kedua-dua program ini dilihat dapat memberi pendedahan berkaitan amalan dalam profesyen guaman dan kehakiman syarie kepada pelajar oleh pengamal undang-undang atau pegawai-pegawai yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan undang-undang syariah di Malaysia.

Pihak UIS berterima kasih kepada JAKESS, JPSS, JAIS dan PGSM diatas kesudian memeterai MoU dan komited merealisasikan objektifnya. UIS juga mengharapkan kedua-dua pihak saling mendapat manfaat dengan penganjuran bentuk kerjasama yang lebih berimpak dari semasa ke semasa.

Universiti Islam Selangor (UIS) merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam milik penuh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).