Kajang - 10 Mei - Bahagian Pengurusan Kediaman Pelajar (BPKP) telah membuat inisiatif dengan mengadakan lawatan kerja ke Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) Daerah Hulu Langat bagi memfokuskan kepada perkongsian pengalaman dan perancangan dalam usaha membanteras gejala penyalahgunaan dadah dari menapak di institusi pendidikan tinggi dalam usaha memastikan keselamatan pelajar yang berada di Universiti adalah terjamin dari pengaruh gejala-gejala negatif sepanjang mereka berada di kolej kediaman.
Delegasi turut disertai oleh Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar & Alumni, YBhg Dr. Abdul Razif Zaini bersama Pengetua, Bahagian Pengurusan Kediaman Pelajar, Ustaz Ahmad Shafiq Mat Razali dan beberapa orang pegawai dan Felo Kolej Kediaman. Pihak AADK pula diwakili oleh Ketua Pegawai AADK, En Muhammad Afiq Mohd Salemi dan warga kerja AADK Hulu Langat.
Hasil daripada lawatan ini telah membuka mata dan minda delegasi yang hadir berkaitan pengurusan AADK dalam membanteras gejala negatif di kalangan belia yang mana penglibatan mereka secara tidak disedari boleh menggelapkan masa depan dan memusnahkan institusi pendidikan yang berusaha melahirkan golongan cendekiawan yang akan memimpin negara di masa hadapan. Kegagalan generasi muda menangkis hasutan dan cabaran dunia semasa lebih memberikan kesan kepada agama, bangsa dan negara.
Pihak UIS bersedia untuk membantu dan mendokong peranan AADK dalam melaksanakan apa-apa program yang dapat memberikan kesedaran kepada mahasiswa dalam memperkukuhkan dan meningkatkan pengetahuan mahasiswa dalam usaha memerangi gejala penyalahgunaan dadah khususnya di daerah Hulu Langat. Semoga usaha murni antara kedua agensi ini berjaya dilaksanakan dan mencapai objektifnya.