Berita UIS

31 Mac 2024 - YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor berbesar hati menerima undangan UIS ke Program Qiamullail Perdana, Sahur dan Subuh Berjemaah UIS di Masjid Al-Azhar UIS pada tahun ini. Majlis anjuran bersama Pejabat Dato Menteri Besar Selangor, UIS dan Sekretariat Bandar Ilmu Putra Mahkota ini diadakan bagi menyemarakkan bulan Ramadan yang mulia ini di samping mengeratkan hubungan silaturrahim yang utuh dalam kalangan warga UIS dan warga setempat.

Program dimulakan dengan Qiamullail diketuai oleh Imam I Masjid Al-Azhar UIS, Ustaz Muhammad Syafee Salihin Bin Hasan. Seusai qiamullail, semua warga bersama-sama bersahur dan menunaikan solat subuh berjemaah dipimpin oleh YBhg Naib Canselor, Dato Prof Madya Dr Mohd Farid Ravi Abdullah yang turut menyampaikan Kuliah Subuh bertajuk ‘Di Bawah Teduhan Al- Quran’ bersempena Hari Nuzul Al-Quran yang baharu sahaja berlalu.

Majlis turut menyaksikan penyerahan sumbangan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin Shari kepada 57 orang pelajar asnaf UIS dan anak yatim.

Secara keseluruhan, majlis ini dihadiri lebih kurang 300 orang tetamu yang terdiri daripada pegawai-pegawai Pejabat Dato Menteri Besar Selangor, Warga Universiti Islam Selangor terdiri daripada barisan pengurusan, pegawai dan mahasiswa, jawatankuasa serta komuniti gugusan Bandar Ilmu Putra Mahkota serta wakil-wakil masjid dan sekolah sekitar Bandar Ilmu Putra Mahkota.

Terima kasih kepada seluruh warga UIS atas kerjasama diberikan untuk menjayakan majlis bersahur peringkat UIS bagi tahun 2024. 

#JomMasukUIS

Universiti Islam Selangor (UIS) merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam milik penuh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).