Universiti Islam Selangor, 1 April 2024 – Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Kepada golongan asnaf muallaf telah diadakan di Masjid Al-Azhar Universiti Islam Selangor. Majlis dihadiri muallaf-muallaf daripada MIRA (Malaysian Indian Reverted Association) dan diraikan oleh Yang Berbahagia Dato Prof Madya Dr Mohd Farid Ravi Bin Abdullah, Naib Canselor UIS yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Hal ehwal Muallaf Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Majlis dimulai dengan Solat Asar berjemaah dan diteruskan dengan sesi perkongsian ilmu bersama Dato Naib Canselor mengenai kepentingan berpegang teguh kepada ajaran Islam. Majlis diteruskan dengan penyampaian sumbangan hari raya melibatkan penerima seramai 200 orang muallaf dan asnaf yang menerima bantuan duit raya sebanyak RM300.00 dan bakul makanan untuk menyambut kedatangan syawal pada tahun ini. Semua tetamu telah berbuka puasa, solat tarawikh dan moreh bersama-sama.
UIS bertuah kerana terpilih sebagai tuan rumah untuk penganjuran majlis dan mengharapkan agar mendapat keberkatan di bulan yang mulia ini dengan harapan agar UIS terus subur dengan aktiviti-aktiviti ilmu dan menyantuni para asnaf dan sebagai pusat pengembangan Islam.