Berita UIS

Kajang- 23 Ogos - Bahagian Pengurusan Kediaman Pelajar (BPKP) telah menerima sumbangan peti ubat-ubatan untuk kegunaan pelajar sepanjang mereka berada di kolej kediaman. Sumbangan ini merupakan kali ke-2 diterima oleh pihak BPKP dimana kali pertama telah diterima pada bulan Julai tahun 2022 dan kali kedua pada 23 Ogos 2024 berikutan ubat-ubatan sedia ada telah tamat tempoh.

Majlis penyerahan simbolik peti dan ubat-ubatan telah diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan KUIS, En Ahmad Fatin bin Mohamad Suhaimi kepada Ustaz Ahamad Shafiq bin Mohd Razali dan turut disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar & Alumni, YBhg Dr. Abdul Razif Zaini. Turut serta adalah Ketua Pegawai Operasi Yayasan KUIS dan juga Timbalan Pengetua BPKP.

Sumbangan ini sedikit sebanyak telah membantu pihak BPKP menangani isu pelajar yang memerlukan rawatan segera sekiranya berlaku kecederaan dan kecemasan. Dengan adanya peti ubat-ubatan ini dapat mencegah kepada penularan wabak penyakit berjangkit dan memastikan pelajar mendapat rawatan pencegahan sebelum dibawa ke klinik atau hospital untuk rawatan lanjut.

Terima kasih diucapkan kepada pihak Yayasan KUIS yang menyumbang untuk membantu dan mendokong pihak BPKP dalam memastikan kebajikan mahasiswa UIS khususnya dari sudut kebajikan dan kesihatan sentiasa diberi perhatian dan menjadi keutamaan dalam pengurusan kolej kediaman. Semoga kerjasama yang erat antara kedua belah pihak akan dapat diteruskan pada masa akan datang demi kemaslahatan ummah.

Universiti Islam Selangor (UIS) merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam milik penuh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).